Gamis Perak - Inspirasi Anak Muda

Saturday 15 September 2012

PERARAKAN MAHASISWA KEBANGSAAN. ADIL ATAU ZALIM? APA PILIHAN MAHASISWA??


 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang2 yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


(al-Ma’idah: 8)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kita taufiq, hidayah dan pelbagai nikmat. Selawat serta salam buat junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’ut tabi’in, para ulama seterusnya kepada semua penyambung mata2 rantai perjuangan Islam yang ikhlas hingga ke hari Kiamat.


ISLAM DAN KEADILAN

Islam dan keadilan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Malah Islam amat mementingkan soal keadilan. Justeru, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Islam itu diperkenalkan dan disebar ajarannya oleh para rasul r.hum ajma’in adalah untuk memberikan keadilan kepada umat manusia. Buktinya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yg berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”


(An-Nisa’: 58)
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan2 yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”


(An-Nahl: 90)


“Dan jika dua puak dari orang2 yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yg zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang2 yang berlaku adil.”


(Al-Hujurat: 9)

 SENARIO DUNIA KAMPUS KINI

Sebagaimana yang telah didedahkan oleh rakan2 di dalam gerakan mahasiswa, suasana atau senario dunia kampus di Malaysia hari ini dilihat amat jelek. Ini kerana wujudnya campur tangan daripada pihak luar khususnya pihak yang punyai kepentingan politik sempit telah menguasai pentadbiran kampus sehingga memperlihatkan kampus tidak ubah seperti patung boneka yang dikawal oleh pemainnya. Lantas ketidakadilan mula berlaku apabila hak sebahagian besar mahasiswa, pensyarah dan pihak pentadbiran universiti itu sendiri mula dicabuli. Di mana letaknya autoriti sebuah badan yang telah diberi kepercayaan untuk melahirkan masyarakat kelas pertama jika badan tersebut masih dikongkong kebebasannya dalam mentadbir?


Agenda jahat berkenaan makin terserlah apabila perancangan pihak yang terbabit untuk menguasai kepimpinan mahasiswa di seluruh kampus Malaysia didedahkan di Parlimen semasa perbahasan bajet tambahan sebelum ini dengan tajuk OPS 2020. Saya secara peribadi amat terkejut dengan pendedahan ini dan amat kesal dengan sikap pihak berkenaan.

MAHASISWA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN

Tidak dapat dinafikan mahasiswa mempunyai keupayaan yang luar biasa untuk menentukan corak pemerintahan negara. Keupayaan mereka daripada aspek intelektual, idealis dan pelbagai lagi sememangnya didambakan masyarakat. Mahasiswa kini adalah cerminan kepada kepimpinan negara pada masa akan datang!

Mahasiswa yang prihatin seharusnya mengambil berat perihal hal ehwal pentadbiran negara. Paling kurang mereka mengambil peduli berkenaan apa yang berlaku di dalam kampus tempat mereka menggali ilmu itu sendiri. Apabila ketirisan, kelompongan, kecacatan, ketidakadilan berlaku di depan mata, adakah wajar untuk mahasiswa berpeluk tubuh sambil menggoyangkan kaki dengan senang hati?


ZALIM JIKA MEMBIARKAN KEMUNGKARAN BERLELUASA

Zalim adalah lawan kepada adil. Mereka yang menentang keadilan layak digelar zalim! Mereka yang hanya melihat kezaliman yang berlaku di depan mata tanpa ada niat sedikit pun utk mencegahnya adalah zalim. Zalim bagi mereka yang membiarkan rakan keseorangan menentang penzalim tanpa berusaha untuk membantunya. Malah paling keji apabila sanggup bersekongkol pula dengan si penzalim!


Jangan dibiarkan ketidakadilan berlaku kerana jika tidak dicegah ia akan membarah! Sekarang adalah masa yang sesuai untuk mahasiswa buktikan peranan mereka yang sebenar. Bukanlah mahasiswa itu hanya tidur dengan longgokan buku2 sebaliknya mereka turut bersama masyarakat untuk mempertahankan negara. Semangat cintakan negara bukanlah hanya slogan untuk dilaung-laungkan atau hanya mengibarkan Jalur Gemilang apabila sambutan Hari Kemerdekaan semata-mata. Sebaliknya ia perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih memberi manfaat kepada keharmonian, kedaulatan dan keadilan sesebuah negara!


Justeru itu, saya mewakili pimpinan Gamis Perak menyuru kepada seluruh mahasiswa khususnya di Negeri Perak dan masyarakat amnya untuk sama2 turun ke Perarakan Mahasiswa Kebangsaan “Bersihkan Pilihanraya Kampus” pada hari Ahad ini (16/09/2012 bersamaan 27 Syawwal 1433H) bertempat di Dataran Merdeka sebagai membuktikan kita adalah orang yang bencikan kezaliman dan mencintai keadilan.



“ISLAM ADIL UNTUK SEMUA”



“GAMIS INSPIRASI ANAK MUDA”



Yang Dhaif,

MUHAMMAD AMIRUL BIN AMRAN,
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Cawangan Negeri Perak.






Hidup ini penuh pilihan,pilih lah kejalan Allah,pasti bahagia

No comments: