Gamis Perak - Inspirasi Anak Muda

Saturday 15 September 2012

FILEM HINA ISLAM & GANGNAM STYLE. APA TINDAKAN KITA?


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sungguh orang-orang yang kafir daripada golongan Ahli Kitab dan orang-orang musyrik akan masuk ke Neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk. Sungguh, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”

(Al-Bayyinah: 6-7)


Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kehadrat Allah SWT atas kurniaan taufiq, hidayah serta pelbagai nikmatNya kepada kita. Selawat serta salam ditujukan buat junjungan besar, baginda Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, para ulama serta seluruh pejuang-pejuang Islam yang ikhlas hingga Hari Kiamat.

KENAPA ISLAM DICELA?

Isu filem yang dibuat untuk menghina Rasulullah SAW serta agama Islam itu sendiri telah mula tersebar di dalam laman sesawang khususnya YouTube sejak akhir-akhir ini. Pelbagai respon mula diutarakan sama ada berbentuk bantahan, cacian mahupun ada jua yang mempertahankanya.


Umum menyedari bahawa pembikin filem berkenaan merangkumi penaja, penerbit dan krew-krew adalah terdiri daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa cemburu kepada Islam. Sebenarnya telah banyak strategi yang mereka lakukan untuk mencela Islam itu sendiri. Barangkali kita kurang menyedarinya. Apakah celaan yang dibuat oleh musuh Islam merupakan suatu perkara yang pelik? (rujuk terjemahan ayat al-Quran di atas). Sudah tentu jawapanya tidak. Ini kerana memang itulah sifat mereka sejak daripada diutuskan para rasul lagi. Bukan sekadar itu sahaja, malah Nabi SAW pernah memberi amaran dengan menyatakan seluruh dunia akan datang mengerumuni dunia Islam:


Daripada Tsauban r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa daripada seluruh dunia akan datang mengerumuni talam hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah kerana kami sedikit pada waktu itu?” Nabi SAW menjawab, Bahkan kamu pada pada hari itu amat ramai, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’ “. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab, “Cinta kepada dunia dan takut kepada mati”.

(Riwayat Abu Daud)


Oleh itu, marilah sama-sama kita koreksi diri. Kenapa musuh-musuh Islam semakin berani mencela Islam. Adakah kita hanya mahu menyalahkan mereka atau sebenarnya diri kita sendiri yang bersalah? Ayuh saudara Islam ku sekalian, kita perteguhkan aqidah dan iman kita. Kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Barulah di sana ada kekuatan untuk menentang musuh Islam kerana pertolongan Allah berada di sisi mereka yang ikhlas berjuang keranaNya. Kembalikan kegemilangan Islam agar Islam kembali digeruni oleh musuh-musuhnya dan disegani sasaran dakwahnya.

ISLAM ITU UNGGUL

Adakah kita sedar bahawa kita adalah umat yang unggul? Keunggulan yang kita miliki adalah disebabkan oleh keIslaman yang ada pada diri masing-masing dan bukan pada yang selain daripadanya! (rujuk terjemahan ayat al-Quran di atas) Khalifah Umar al-Khattab pernah menyebut bahawa kita adalah satu kaum yang dimuliakan dengan Islam. Maka sesiapa yang mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka tiadalah kemulian padanya!

Isu tarian Gangnam Style telah menjadi fenomena kepada masyarakat dunia kini. Umat Islam di Malaysia jua tidak ketinggalan untuk turut ‘menggayakannya’. Berhibur bukanlah persoalannya kerana Islam itu sendiri mengharuskan hiburan. Namun, apabila tarian tersebut di buat secara terbuka, dedah aurat dan bercampur aduk antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, maka ini jelas telah melanggar hukum syarak dan batas-batas akhlak Islam itu sendiri! Apa lagi jika ia turut disertai oleh mereka yang bergelar pemimpin! Amat memalukan. Bukan begini caranya untuk meraikan kelonjakan jiwa ‘orang muda’. Banyak lagi cara lain yang difikirkan lebih baik untuk menawan dan mendekati mereka ini.


Perlu dinyatakan bahawa ini juga merupakan agenda musuh-musuh Islam untuk mencela dan menghinakan umat Islam itu sendiri! Ini salah satu strategi mereka! Akhirnya umat Islam yang kurang iman dan ilmu agama akan hanyut leka dibuat arus deras hiburan melampau yang langsung tiada manfaat. Fikir-fikirkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian. Nabi SAW pernah mengingatkan:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka!”

(Riwayat Imam Muslim)



“GAMIS INSPIRASI ANAK MUDA”



Yang Dhaif,

MUHAMMAD AMIRUL BIN AMRAN
Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia Cawangan Negeri Perak.


Hidup ini penuh pilihan,pilih lah kejalan Allah,pasti bahagia

No comments: