Gamis Perak - Inspirasi Anak Muda

Saturday 24 November 2012

ISU PALESTIN TANPA SEMPADAN


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI  MAHA PENYAYANG


Assalamualaikum/salam sejahtera, kepada semua.

Dilindungi bayang-bayang media dan kuasa veto Barat, sekali lagi pihak penjajah Zionis melancarkan misi penghapusan bangsa Arab Palestin daripada Gaza (Palestin) dengan nama operasi “Pillar of Cloud”. November 2012 adalah serangan terbaru regim Zionis ke atas wilayah Gaza setelah melakukan jenayah perang yang sama pada 4 tahun yang lalu menjelang Disember 2008 hingga Januari 2009 yang meragut hampir 1,500 nyawa dalam kalangan warga Palestin.
Hari ini media Barat sekali lagi menjaja propaganda yang sama seperti yang pernah diuar-uarkan pada tragedi berdarah Disember 2008, dakwa mereka “Israel (negara) mempertahankan diri daripada serangan roket Palestin”. Walhal, hujah ini tidak berasas sama sekali, atas sebab-sebab berikut:-

1. Sebelum bermula serangan roket Palestin ke atas Israel (negara), pesawat perang  regim Zionis telah berlegar-legar di ruang udara Gaza mencari sasaran-sasaran individu. Namun pemimpin Palestin tidak melakukan apa-apa tindakan atas provokasi dan pencerobohan yang dibuat. Sehingga kemuncaknya tiba apabila terbunuhnya seorang kanak-kanak warga Palestin yang membawa kepada serangan balas ke atas Israel (negara).

2. Mustahil untuk diterima akal, bahawa kumpulan penjajah mendakwa mereka “mempertahankan diri” setelah menetap di tanah jajahan mereka dan setelah melakukan penculikkan beramai-ramai rakyat Palestin atas nama penangkapan tanpa bicara. Mereka mendakwa “mempertahankan diri” setelah mengambil hak warga Palestin sewenang-wenangnya.
Perlu ditegaskan, Islam tidak memilih untuk membenci bangsa tertentu seperti bangsa Yahudi atau selainnya, sebaliknya apabila timbul kezaliman baik ia datang samada dari muslim atau non-muslim,  umat Islam perlu bangkit menegakkan keadilan. Konflik Palestin-Israel adalah isu yang penting untuk diketengahkan masyarakat dunia tanpa memilih-milih untuk dibangkitkan pada musim-musim tertentu.  Sejarah mengenali regim Zionis kerana mereka bijak bermain masa, apabila masyarakat dunia sudah lupa, mereka mulai bermaharaja lela.
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا قَالَ تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْهِ
Bantulah saudara kamu samada dia menzalimi atau dizalimi. Lalu sahabat menjawab: Kami akan menolongnya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana kami boleh membantu mereka yang zalim. Nabi menjawab: Kamu halang dia daripada melakukan kezaliman. (Riwayat Bukhari)

Usaha memboikot barangan, bentuk perlaburan dan hubungan diplomasi ke atas regim Zionis adalah untuk menyatakan kebersamaan dan solidrati warga Malaysia terhadap perjuangan warga Palestin dalam mempertahankan hak-hak kemanusiaan mereka sebagai penduduk asal tanah Palestin.
Di ketika seluruh pelusuk masyarakat dunia bangkit tanpa mengira bangsa, agama dan negara dalam menolak kezaliman, penindasan, penganiyaan dan penipuan regim Zionis. Warga Palestin mengharapkan kita warga Malaysia untuk bersama-sama memberi sokongan padu terhadap perjuangan mereka.
Mulakan boikot, agar mereka sedar, setiap keganasan ada balasan.




Aminuddin Bin Mohamed
Majlis Ta'dibiyyah GAMIS Perak. 


Hidup ini penuh pilihan,pilih lah kejalan Allah,pasti bahagia

No comments: