Gamis Perak - Inspirasi Anak Muda

Thursday, 15 November 2012

Perutusan Maal Hijrah GAMIS PERAK


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI  MAHA PENYAYANG,

“ Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”     (An-Nisa’: 100)

Alhamdulillah, syukur sama-sama kita panjatkan ke hadrat Allah SWT atas kurniaan taufiq, hidayah serta pelbagai nikmat lain yang jika mahu dihitung satu-persatu nescaya tidak mampu untuk kita menghitungnya. Selawat dan salam ditujukan khas buat junjungan besar baginda nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’in, tabiu’t tabi’in, para ulama’, seterusnya kepada semua penyambung mata-mata rantai perjuangan baginda Nabi SAW.

                Tahun 1433 Hijriyyah telahpun melabuhkan tirainya. Tibalah pula tahun 1434 Hijriyyah untuk memunculkan dirinya. Demikianlah beredarnya setiap waktu yang berlalu terus meninggalkan kita. Semoga tahun sudah dapat menjadi penanda aras untuk kita menjadi lebih baik pada tahun kali ini.

                Secara umumnya hijrah itu bermaksud perpindahan daripada suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Manakala pada pengertian yang lebih luas, hijrah itu boleh merujuk kepada perpindahan daripada suatu perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Peristiwa hijrah merupakan antara peristiwa yang penting dalam sejarah Tamadun Islam kerana melaluinya bermulalah perkembangan ajaran Islam secara lebih pesat. Kota Madinah menjadi saksi tertegaknya sebuah negara Islam pertama yang menjalankan sistem pemerintahan berlandaskan syariat berpandukan kepada al-Quran yang dibimbing sendiri oleh Rasulullah SAW.

                Rasulullah SAW dilihat sebagai contoh ikutan terbaik untuk umat manusia seluruhnya kerana baginda bukan sahaja berperanan sebagai seorang pemimpin ummah, bahkan baginda juga berperanan sebagai seorang panglima tentera, suami kepada isteri-isterinya, bapa kepada anak-anaknya, jiran kepada tetangganya dan guru kepada pelajar-pelajarnya. Bahkan segala bentuk peranan kita sebagai manusia biasa telah berjaya ditunjukkan oleh baginda dengan sempurna.

                Perlu kita sedari, baginda SAW sentiasa berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang perjalanan dakwahnya yang bukan sahaja datang daripada penduduk awam Quraisy bahkan juga berhadapan dengan ahli keluarga baginda sendiri. Namun, baginda membuktikan bahawa hijrahnya bukan suatu yang sia-sia. Di sini jugalah titik permulaan Islam berjaya menyebarkan dakwahnya menjangkau tiga perempat dunia.

                Apa yang menyedihkan, umat Islam hari ini dilihat terlena dibuai oleh arus modenisasi yang membawa kepada ideologi karut seperti sekularisme, hedonisme dan lain-lain fahaman yang mengancam akidah terutamanya generasi muda. Ikhtilat dan aurat dianggap hanya satu picisan ditambah dengan golongan artis yang menjadi sanjungan dan ikutan muda mudi sehingga melahirkan masyarakat Islam yang menganggap Islam itu satu masalah kepada mereka. Ayuh bangkit anak muda! Bangun daripada lenamu wahai sahabat-sahabat dan terjunlah ke medan dakwah. Allah SWT berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”    (Ali-Imran: 104)

                Bertepatan dengan gelaran mahasiswa Islam, maka kita secara bersama hendaklah menyahut firman Allah SWT ini agar Islam kembali diamalkan dan didaulatkan. Akhlak Islamiyyah mestilah diserlahkan agar matlamat dakwah itu membuahkan natijah terbaik. Di kesempatan ini saya berpesan kepada diri saya sendiri serta semua rakan-rakan Mahasiswa Islam khususnya ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan semua mahasiswa mahasiswi yang beragama Islam untuk berhijrah menjadi individu yang berguna di sisi Allah SWT. Seterusnya kita perlu istiqomah dalam melaksanakan kebaikan berkenaan dan istiqomah ini amatlah sukar sekiranya tiada azam yang kuat untuk menjaganya.

Mengakhiri kalam, sama-samalah kita menghayati satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing"     
                                                                                                                                            (Hadis Riwayat Muslim)  
Bersama-sama kita mendaulahkan Islam. Selamat berhijrah buat semua mahasiswa-mahasiswi Islam negeri Perak khususnya dan seluruh Malaysia amnya.

GAMIS INSPIRASI ANAK MUDA,

MUHAMMAD AMIRUL BIN AMRAN,
PENGERUSI GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA,
CAWANGAN NEGERI PERAK.







Hidup ini penuh pilihan,pilih lah kejalan Allah,pasti bahagia

Thursday, 27 September 2012

Siapa Muslim Dalam Politik?


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Muslim pada prinsipnya tiada kompromi terhadap sebarang bentuk pencabulan hak samada sesama manusia, binatang, tumbuhan dan alam sekitar. Bahkan termasuk dalam kerangka ibadah dan diberikan pahala bagi setiap mereka yang berusaha menyekat sebarang bentuk kezaliman, kerosakkan, penindasan dan kesusahan meskipun dengan hanya mengalih secebis duri di atas jalanan.

وَإِمَاطَتُكَ الْحَجَرَ وَالشَّوْكَةَ وَالْعَظْمَ عَنْ الطَّرِيقِ لَكَ صَدَقَةٌ
“Mengalihkan batu, duri dan tulang daripada jalan itu adalah sedekah”
(Riwayat Tirmidzi, Ibn Hibban)

Muslim yang baik sentiasa peka dan berlumba-lumba dalam menyebarkan rahmat (belas kasihan) untuk sekalian alam. Siapa lagi yang lebih utama melainkan muslim dalam mendepani isu kemanusiaan, alam sekitar, pemanasan global dan hak hidupan alam? Persoalan ini hanya mampu dijawab dengan baik bagi muslim yang sedar akan misinya sebagai khalifah (pentadbir) di muka bumi, tambahan pula nasihat nabi:-

مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ
“Siapa yang tidak berbelas kasihan, dia tidak dikasihi”
(Riwayat Bukhari dalam bab kasihkan manusia dan binatang)

Usaha dalam mewarnai dunia ini dengan disebarkan kuasa keimanan, keamanan, kedamaian, ketenangan, keadilan dan kebebasan merupakan politik Islam dalam erti kata sebenar. Tuntutan inilah yang menjadikan muslim tidak terpisah gaya hidupnya dari alam politik. Namun, tidak wajar dikatakan politik itu hanya berkenaan parti-parti. Walhal politik parti itu hanya sebahagian dari cabang-cabang usaha politik Islam yang luas.

Pilihanraya umum bakal menjelang menuntut muslim meneliti kembali peranan mereka sebagai pencorak keadaan atau ahli politik Islam. Antara nasihat bersama ialah:-
1. Melantik pemimpin atau parti yang berupaya mengurus tadbir negara dengan amanah agar setiap rakyat berbilang kaum mampu merasa aman dan bebas.
2. Memperbaiki politik kotor dan tidak berakhlak seterusnya berusaha mengajak masyarakat ke arah politik berasaskan ukhwah (persaudaraan).
3. Melibatkan diri dalam proses pemilihan pemimpin melalui sistem demokrasi negara yang sesuai dengan aspirasi prinsip syura (perundingan/perbincangan/permesyuaratan).
4. Berperanan sebagai pengadil yang baik dengan mencari ruang dan peluang untuk mendengar hujah parti-parti yang bertanding secara saksama dengan minda yang terbuka.

Ada baiknya menjadi 'citizen politics' daripada sentiasa bergelar mahasiswa yang selalu berkehendak dan lebih baik serta bermanfaat dunia akhirat menjadi seorang homo-islamicus (manusia ISLAM) daripada berada dalam ruang lingkup governance semata. Seorang Islam itu adalah warga politik. Ketahuilah peranan-peranannya. Wallahua'llam. 


“ISLAM ADIL UNTUK SEMUA”



“GAMIS INSPIRASI ANAK MUDA”


Sahabat GAMIS




Hidup ini penuh pilihan,pilih lah kejalan Allah,pasti bahagia